Bismillah..

Bismillah..
DEMI MASA..SESUNGGUHNYA MANUSIA DALAM KERUGIAN.

Sunday, May 12, 2013

SELAMAT HARI IBU IBUKU..

SELAMAT HARI IBU KHAS BUAT IBUKU PUAN ESAH BIINTI HASAN.. Jauh tersemat di sudut hati kalimah-kalimah ini untuk kulontarkan... lantaran tidak mampu kuucapkan dengan lafaz, maka kucoretkan baris-baris ayat ini agar ibuku mengerti, betapa aku menyayanginya kerana Allah, betapa aku menyayanginya dengan segala cinta yang aku miliki. Ibu... Sempena hari istimewa ini, kutujukan warkah luahan hati ini buatmu. Untuk menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga buatmu duhai ibu yang membawa aku ke dunia ini. Diiringi tangisan syahdu, aku menulis luahan ini... menyatakan betapa aku menyayangi dan mencintaimu selepas Allah dan Rasul-Nya. Ibu… Sungguh akulah insan yang paling bertuah di atas muka bumi ini kerana mempunyai ibu sehebatmu. Akulah juga anak yang paling bertuah kerana mempunyai ibu setabahmu. Kesabaran dan pengorbananmu tiada batasnya. Kasih sayangmu lahir begitu tulus dan suci untukku. syurgaku ada di bawah telapak kakimu... maka izinkan aku menciumnya. Aku bermohon sepanjang hayatku, semoga terhindar daripada membuat ibu berkecil hati, jangan sampai aku membuat ibu menitiskan air mata. Sungguh aku tidak sanggup memaafkan diri ini andainya telah membuat ibu terluka... duhai ibuku yang tercinta. Ibu... Masa yang berlalu berjalan dengan begitu pantas. Tanpa kusedari, sudah 25 tahun aku hidup bertemankan kasih sayang ibu, hidup dengan bahagia di sisi seorang insan mulia seperti ibu. Duhai ibu tercinta... Selama 25 tahun ini, tidak dapat kukira berapa banyak keringatmu mengalir demi membesarkanku, betapa banyak pengorbananmu terlahir buatku... malah betapa banyak tangisan yang pernah ibu tumpahkan untukku. Kesabaran dan kasih sayangmu tiada batasannya. Malah tidak pernah kulihat riak kecewa atau lelah di wajahmu sepanjang tempoh itu. Lalu aku tersangat kagum... dari mana kekuatan itu ibu kutip... hingga ibu mampu bertahan sehebat itu dalam membesarkan kami semua yang bergelar anak-anak ibu? Ampunkan daku ibu, kiranya dalam tempoh 25 tahun ini, aku pernah membuatmu begitu susah hati dengan karenahku... jika dalam tempoh 25 tahun ini bicaraku pernah mengguris hatimu... jika dalam tempoh 25 tahun ini pernah aku mengingkari permintaan dan suruhan ibu. Ibu... Sungguh segala kealpaan dan kekurangan itu kerana aku masih mencari-cari resipi kehidupan. Masih merangkak-rangkak mengenal hidup yang memang selalu menguji. Ampunkan daku ibu, andai sepanjang tempoh ini aku gagal menjadi anak yang terbaik buatmu, gagal menjadi penyejuk mata buatmu. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, kupohon ampun padamu duhai ibu. Ibu... Walau diberi sepanjang hayat kesempatan pun, nescaya tidak cukup untuk aku membalas segala jasa dan pengorbanmu dalam membesarkanku. Malah tidak mampu juga aku bayar atau meletakkan harga untuk air susumu yang telah kuteguk. Tiada harganya untuk kuletak demi membayar segala jerih payahmu mendidikku, memberi segunung kasih sayangmu untukku, memelukku saat aku ketakutan, menyuapkan makanan ke mulutku, mendodoikan tidur malamku... lalu harus bagaimana aku membalasnya jika tiada harga untukku bayar. Hanya yang termampu aku lakukan, menyedekahkan sebanyak-banyak doa buat ibu, moga Dia menyayangi dan mengasihimu seperti mana ibu menyayangi dan mengasihiku sejak kecil hingga ke saat ini. Meskipun aku menginjak usia makin dewasa, namun aku masih tetap anak kecilmu ibu. Masih aku perlukan doronganmu, pelukanmu, kasih sayangmu. Tiada apa yang pernah berubah... Meski aku makin dewasa dalam meniti perjalanan ini, namun aku masih lagi anakmu yang sama seperti 25 tahun yang lalu. Aku masih mengharap doamu untuk berjaya, masih aku mengharap redhamu dalam apa jua yang aku kerjakan... masih aku perlukan persetujuanmu dalam mencari jodohku. Tidak akan aku membelakangimu walau sedikit pun untuk masa depanku, kerana ibulah segalanya buatku. Dari aku lahir hinggalah saat aku melihat dunia-Nya ini buat kali yang terakhir, ibulah insan yang paling dekat di hatiku. Ya Allah... aku menyayangi dan mencintai ibuku kerana-Mu. Aku begitu cintakannya Tuhan... tolong Engkau lindungi ibuku selalu dari segala bahaya dan bencana. Selalulah Engkau ukirkan senyuman di wajahnya, supaya kutahu ibuku sedang berbahagia dengan hidupnya. Selalulah Engkau payungi dia dengan rahmat dan kasih sayang-Mu yang tiada bertepi itu. Aku tidak mampu membalas semua kebaikannya untukku... dan aku tidak mampu, ya Allah, membayar segala pengorbanannya untukku. Oleh itu, didiklah daku ya Allah, supaya mampu menjadi anak yang soleh yang dapat berbakti buat kedua-dua orang tuaku. Agar mereka berasa bahagia selalu dengan kehadiranku, agar mereka sejuk hati tatkala melihat wajahku. Jadikanlah aku anak soleh yang selalu mendoakan kebahagiaan orang tuaku, kerana di bawah telapak kakinya ada syurgaku... kerana di bawah redhanya kejayaan dan kebahagiaan itu kuraih. Ibu... Engkaulah permata hatiku dunia dan akhirat. Sayangmu kubawa hingga ke syurga. Salam sayang penuh cinta daripada anakmu yang telah pun berusia 25 tahun hingga saat ini. SELAMAT HARI IBU KHAS BUATMU IBUKU